Saturday, March 27, 2010

Isu Menuduh Liwat Mengikut Perspektif Syara'


Isu yang sedang hangat di Malaysia hari ini ialah berkenaan isu liwat yang cukup terkenal. Ia tidak lagi perlu diulas. Cuma di sini, akan dijelaskan tentang perspektif Islam dalam menjawab isu ini. Tetapi malangnya perspektif Islam ini tidak dipraktikkan oleh kerajaan Malaysia. Takrif liwat sudah jelas. Isu yang akan diceritakan juga sudah jelas. Maka, terus kepada isi…


Peristiwa


“Saiful Bukhari telah menuduh bahawa Anwar Ibrahim meliwatnya pada tarikh sekian-sekian”


Perkara pertama yang perlu diketahui di dalam perbincangan ini ialah perbezaan di antara dua perkara :


a. Samada Saiful “menuduh” (qazaf) Anwar meliwatnya
b. Samada Saiful mengaku (iqrar) bahawa beliau telah diliwat
c. Samada Saiful ingin menuntut bela atas kezaliman yang dilakukan terhadapnya


Penjelasannya seperti berikut :


Pertama : Saiful menuduh (qazaf) Anwar telah meliwatnya


1. Qazaf ialah menuduh seseorang yang beragama Islam berzina atau liwat, dengan lafaz yang jelas. ( Dr Wahbah Zuhaili, Al Wajiz Fil Fiqhil Islami, cet. Kedua, Maktabah Darul Fikr, 2006 jil 2, ms 380 )


a. Contohnya seseorang memanggil orang Islam yang lain “wahai penzina”, atau “kamu telah berzina” dan sebagainya.


b. Contoh lafaz yang tidak jelas ialah seperti “Engkau buat sesuatu dengan dia…” atau “Engkau jolok dia..”


2. Lafaz yang jelas dikira sebagai qazaf, dan wajib dikenakan hudud. Manakala lafaz yang tidak jelas, terdapat perbezaan pandangan fuqaha’ ( Ibid, Dr Wahbah Zuhaili, jil 2, ms 382 ) :


a. Mazhab Hanafi dan Hanbali, berdasarkan pandangan al Khiraqi dan Abu Bakar al Marwazi mengatakan bahawa lafaz tuduhan yang tidak jelas tidak dikenakan hudud.


b. Mazhab Maliki berpendapat bahawa ia dikenakan hudud, sekiranya lafaz yang tidak jelas tersebut “difahami” maksudnya. Contohnya perkataan “jolok” di dalam ayat tadi, jelas difahami bahawa menunjukkan kepada zina (mengikut adat).


c. Mazhab Syafie pula berpendapat bahawa sesuatu tuduhan yang menggunakan lafaz yang tidak jelas, perlu didasarkan kepada niatnya. Sekiranya si penuduh itu mengaku bahawa dia berkata demikian dengan maksud “zina”. Maka, dalam konteks ini dia dikenakan hudud.


3. Saya lebih cenderung untuk memilih pandangan Mazhab Syafie kerana sesuatu perbuatan itu berdasarkan kepada niatnya, waLlahua’lam. Di dalam kaedah fiqh (Dr Abdul Karim Zaidan, al Wajiz Fi Syarhil Qawa’id al Fiqhiyyah, cet. pertama, 2006, Mu’assasah ar Risalah, m.s. 15 ) menyebut :


الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا
Sesuatu perkara itu berdasarkan niatnya


4. Qazaf juga bermaksud menuduh seseorang berzina (atau liwat), berdasarkan pendedahan dan bukti. Contohnya bukti pemeriksaan kesihatan mendapati bahawa seseorang itu berzina, lalu seseorang yang lain menuduhnya berzina tanpa 4 saksi. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 3 ms 427 )


5. Apa yang disebutkan ini ialah berdasarkan Mazhab Syafie. Perbezaan Mazhab di dalam menggunapakai “bukti” atau pendedahan untuk mensabitkan zina, seperti berikut ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. keempat, Darul Fikr, bah. 7, bab. 4, ms 315) :


a. Para Sahabat RA berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu telah disahkan hamil, bermakna dia telah berzina. Ia juga dipegang oleh Mazhab Maliki dan Ibnu Qayyim.


b. Mazhab Hanbali mengatakan bahawa seseorang perempuan itu hamil dalam keadaan ketiaadan suaminya dalam tempoh yang panjang, atau tempat yang jauh, yang tidak memungkinkan perempuan tersebut hamil disebabkan suaminya.


c. Mazhab Syafie dan Hanafi menolak penggunaannya (bukti) untuk mensabitkan tuduhan zina. Ia telah dijelaskan dalam perkara 4.


6. Perkara ini hanyalah jelas menunjukkan tentang zina. Manakala liwat pula, sekiranya tuduhan tersebut hanya berdasarkan bukti, maka ia tidak diterima oleh Mazhab Syafie dan Hanafi. Tetapi ia diterima mengikut Para Sahabat RA, dan Mazhab Maliki.


7. Tetapi, perlu diketahui bahawa yang dimaksudkan dengan “bukti” tersebut, ialah bukti yang benar-benar jelas. Sekiranya hanya menjadikan air mani pada tilam, ia belum dapat disahkan sebagai bukti yang dimaksudkan. Begitu juga bukti rambut yang terdapat di bantal, juga tidak dikira sebagai bukti yang sah dan kukuh untuk mensabitkan tuduhan liwat.


8. Bukti yang kukuh ini, hendaklah diqiaskan sepertimana pandangan Para Sahabat RA. Iaitu hamil bukti menunjukkan bahawa seseorang yang belum berkahwin itu berzina. Atau mereka yang suaminya berada di tempat yang jauh dan dalam tempoh masa yang lama, dan tidak memungkinkan ia hamil disebabkan suaminya (berdasarkan Mazhab Hanbali).


9. Contoh bukti kukuh yang dapat mensabitkan liwat, seperti air mani lelaki A yang terdapat di dalam saluran dubur lelaki B (berdasarkan qias dengan contoh tadi). Atau rakaman yang “jelas” dan ia dibuktikan sebagai video yang asli.


10. Selain itu, seseorang itu disabitkan sebagai peliwat, atau penzina dengan mendatangkan 4 saksi lelaki yang baik, dan boleh dipercayai. Sekiranya tidak, atau saksi kurang, maka mereka yang menuduh (qazaf) akan dijatuhkan hukuman hudud iaitu sebanyak 80 sebatan. ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. keempat, Darul Fikr, bah. 7, bab. 4, ms 315)


Kedua : Samada Saiful mengaku (iqrar) bahawa beliau telah diliwat


1. Perkara pertama yang perlu jelas ialah, di dalam bab iqrar, hanya dibuat kepada mereka yang membuat pengakuan, melakukan kesalahan. Pengakuan hendaklah tidak berdasarkan paksaan. Iqrar kanak-kanak atau orang gila tidak dipakai. ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 3 ms 421 )


2. Iqrar yang disyariatkan ini berdasarkan dalil Shahih Muslim no. 1695, Shahih Bukhari no. 6438, dan sebagainya.


3. Seseorang itu dijatuhkan hukuman hudud melalui dua cara. Iaitu melalui pengakuan si pesalah tersebut yang mengaku berzina atau meliwat, atau bukti 4 orang saksi yang didatangkan oleh si petuduh. ( Dr Wahbah Zuhaili, Al Wajiz Fil Fiqhil Islami, cet. Kedua, Maktabah Darul Fikr, 2006 jil 2, ms 380 ).


4. Tetapi di dalam isu Saiful ini, beliau tidak dianggap sebagai “orang yang beriqrar” sebagai mangsa liwat. Sebaliknya beliau dikatakan sebagai orang yang menuduh (qazaf) yang akan dijelaskan selepas ini. Ini kerana Saiful menganggap dirinya tidak melakukan kesalahan, bahkan dia adalah mangsa keadaan. Maka jelas bercanggah dengan takrif yang dijelaskan di dalam Perkara 1.


5. Maka, andaian bahawa Saiful adalah orang yang beriqrar sebagai pelaku kesalahan, ditolak.


Ketiga : Samada Saiful ingin menuntut bela atas kezaliman yang dilakukan terhadapnya


1. Sekiranya Saiful ingin menuntut bela atas kezaliman (liwat) yang dilakukan terhadapnya, sudah pasti beliau tidak menghebohkan perkara tersebut. Ini kerana ia bertujuan memburukkan watak orang yang dituduh, bahkan wataknya juga akan buruk. Maka, andaian yang mengatakan beliau ingin menuntut bela di atas kezaliman ini, tertolak.


2. Menuntut bela atas kezaliman yang dilakukan tidak dikira sebagai qazaf. Ini kerana ia adalah aduan sebagai mangsa, bukannya berniat menuduh orang lain berzina. Aduan sebagai mangsa liwat hendaklah dibuat secara tertutup, dan tidak dihebohkan. ( sila lihat takrif “qazaf” yang telah diterangkan dalam Bahagian Ketiga, Perkara 1 dan 4 )


3. Ini kerana “maqasid” (tujuan) daripada membuat aduan ini, bukanlah hendak memburukkan seseorang, tetapi untuk menuntut bela di atas kezaliman yang dilakukan terhadap mangsa. ( Dr Wahbah az Zuhaili, Usul Fiqh al Islami, cet. 3, 2005, Maktabah Darul Fikr, jil 2, ms 307 )


4. Apabila seseorang mangsa itu menghebohkan kezaliman yang dilakukan terhadapnya, ia dinamakan sebagai tuduhan. Setiap tuduhan memerlukan bukti, dan apabila bukti sudah jelas, maka orang yang dituduh perlu bersumpah untuk menolak tuduhan tersebut. Sekiranya tidak bersumpah, maka disabitkan kesalahan.


البينة على المدعى واليمين على من أنكر
Bukti diwajibkan kepada penuduh, dan sumpah pula diwajibkan kepada mereka yang dituduh


( ‘Ala’uddin al Hindi, Kanzul Ummal Fil Sunanil Aqwal Wal Af’al, cet. kelima, 1401 H, Mu’assasah ar Risalah, bah. 6, ms 160 )


5. Kaedah yang disebutkan ini tidak boleh digunakan untuk tuduhan qazaf, sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini (sila lihat Bahagian Pertama). Ini kerana qazaf mempunyai pensabitan hukum yang khusus. Contohnya mereka yang mampu mendatangkan 4 orang saksi, sudah tersabit kesalahan zina/liwat bagi seseorang yang dituduh. Ia jelas perbezaan dengan kaedah ini. ( Dr Wahbah Zuhaili, Fiqhul Islami Wa Adillatuhu, cet. keempat, Darul Fikr, bah. 7, bab. 4, ms 315)


6. Setiap aduan hendaklah dibuat kepada mereka yang sepatutnya, berkelayakan, dan mampu untuk menyelesaikan masalah ini. Contohnya dalam isu ini, perbicaraan tidak dibuat di Mahkamah Syariah. Maka, ia jelas menunjukkan bahawa kes ini bukanlah berbentuk aduan, tetapi qazaf.


Kesimpulan


1. Maka, kesimpulan daripada perbahasan ini, Saiful adalah orang yang menuduh (qazaf) Anwar, dan mereka yang membuat tuduhan meliwat wajib mendatangkan 4 orang saksi lelaki yang boleh dipercayai. Sekiranya tidak, maka beliau selayaknya menerima hukuman sebat sebanyak 80 kali.


2. Timbul persoalan, sekiranya seorang mangsa rogol, datang mengadu bahawa dia telah dirogol, mana mungkin dia dapat mendatangkan 4 orang saksi. Kekeliruan ini telah ditimbulkan oleh Dr Asri Zainal Abidin di dalam web beliau bertarikh 7 Julai 2008. Lalu beliau mengatakan bahawa Saiful perlu bersumpah laknat.


3. Hakikatnya pandangan beliau ini tertolak berdasarkan beberapa bukti yang jelas. Iaitu, sekiranya seorang itu mengandung, kemudian dengan mudahnya menuduh seseorang lelaki yang baik itu berzina. Kemudian si perempuan ini hanya perlu bersumpah. Adakah hanya dengan sumpah ini membolehkan hukuman disabitkan terhadap lelaki tersebut?


4. Di sana terdapat kemungkinan bahawa si perempuan ini menipu sehingga sanggup bersumpah. Ia jelas bercanggah dengan kaedah yang telah disebut sebelum ini dalam Bahagian Pertama.


5. Sekiranya Saiful gagal membawa 4 orang saksi yang boleh dipercayai, maka, beliau hendaklah mengemukakan bukti yang kukuh untuk membuat tuduhan. Bukti yang dimaksudkan di sini bukanlah hanya sekadar tompok air mani di tilam, atau helaian rambut pada bantal. Bahkan bukti yang perlu ditunjuk ialah pengesahan bahawa terdapat air mani Anwar di dalam saluran duburnya.


6. Namun, ini adalah pandangan sebahagian mazhab. Mazhab Syafie dan Hanafi tidak menjadikan bukti sebagai cara untuk mensabitkan kesalahan zina/liwat. Berkemungkinan, di sana terdapat kaedah untuk mendapatkan air mani secara makmal, kemudian memasukkannya ke dalam saluran dubur. Begitu juga dengan perempuan yang hamil, yang boleh dilakukan dengan menyuntik air mani mana-mana lelaki yang ingin dituduh, ke dalam rahimnya.


7. Sesuatu tuduhan itu dikira sebagai qazaf berdasarkan beberapa syarat ( Dr Mustafa al Khin, Dr Mustafa Bugho, Dr Ali asy Syarbaji, al Fiqhul Manhaji, cet. ke 8, 2007, Darul Qalam, jil. 3 ms 428 ) :


a. Syarat pada orang yang membuat tuduhan :


- Seorang yang sudah baligh
- Seorang yang berakal
- Seorang yang bukan bapa, atau atuk kepada orang yang dituduh
- Seorang yang tidak dipaksa


b. Syarat pada orang yang dituduh :


- Seorang yang beragama Islam
- Seorang yang sudah baligh
- Seorang yang berakal
- Seorang yang bersih daripada tuduhan sebelum ini


8. Maka, Saiful tidak akan dikenakan hukuman 80 kali sebatan sekiranya beliau belum baligh, atau hilang akal, atau bapa kepada Anwar, atau dipaksa. Manakala Anwar pula akan terlepas dari tuduhan sekiranya bukan beragama Islam, atau belum baligh, atau hilang akal, atau mempunyai rekod buruk (contohnya seseorang yang terkenal dengan pelacurnya) sebelum ini.


9. Perbicaraan sepatutnya dibuat di Mahkamah Syariah. Sekiranya berpandukan kepada Mahkamah Sivil, Saiful yang membuat tuduhan perlu mendatangkan saksi, dan orang yang dituduh juga perlu mendatangkan bukti bahawa tuduhan tersebut tidak berasas.


10. Bagi perspektif syara’ pula, Saiful perlu mendatangkan 4 orang saksi untuk membuat tuduhan. Sekiranya cukup 4 orang saksi, maka hudud sebagai peliwat perlu dikenakan kepada Anwar. Sekiranya gagal mendatangkan 4 orang saksi, maka Saiful pula yang dikenakan hudud, iaitu dengan 80 kali sebatan.


11. Mangsa rogol atau mangsa liwat, dibenarkan membuat aduan. Tetapi tidak dibenarkan membuat tuduhan. Perbezaan di antara aduan dan tuduhan ialah, aduan dibuat secara tertutup dan berniat untuk menuntut hak sebagai seorang yang dizalimi. Manakalah tuduhan pula, dilakukan secara terbuka, dan berniat untuk menjatuhkan reputasi seseorang.


a. Maka, orang yang menuduh seseorang itu meliwat, hendaklah mendatangkan 4 orang saksi.


b. Sekiranya gagal mendatangkan 4 orang saksi, maka orang yang menuduh akan dikenakan 80 kali sebatan.


c. Sekiranya menuduh seseorang itu mencuri, atau merompak (bukan liwat atau zina), maka mereka perlu datangkan bukti. Setelah dikumpulkan bukti-bukti tersebut, maka orang yang tertuduh (bukan zina atau liwat) hendaklah bersumpah menafikannya.


d. Sekiranya tidak bersumpah, maka sabitlah kesalahan kepada orang yang dituduh. Sekiranya dia bersumpah menafikannya, maka tidak tersabitlah dakwaan tersebut.


Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar.

Sumber: Klik

No comments:

Post a Comment