Monday, March 8, 2010

UmNoBn SESAT....dari dulu,kini dan selama2nya


KUALA LUMPUR, 8 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS menolak perpaduan dengan Umno kerana perjuangan parti Melayu itu sebenarnya amat sesat (dhalalah) disebabkan menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama yang menyebabkan banyak pihak tidak faham Islam termasuk bukan Islam.

Mursyidul Am PAS itu berkata, sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Dalam perutusan sempena dua tahun Pakatan Rakyat hari ini, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Berikut ialah perutusan penuh beliau

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya:

1. Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2. Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3. Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4. Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5. Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya, maksudnya, "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[al-Hujuraat, 49: 13]

Semoga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

NaMa ALLAH....FaHami Dan FiKir2 kan LaH...

Suatu masa dahulu saya pernah mengarang satu tulisan panjang berkenaan Allah bukan nama tuhan Yahudi dan Kristian. Pendekatan penulisan itu adalah berasaskan retrospektif iaitu menelusuri rekod penggunaan nama Allah dalam kitab Bible dan Old Testament (Taurat) di mana bahasa Inggeris yang banyak digunakan dalam kitab tersebut dipertikai oleh saya.

Saya menilai mengapa Kristian dan Yahudi gemar menggunakan bahasa Inggeris dan kalimah God berbanding kalimah asal bahasa Ibrani bagi Yahudi dan Aram bagi Kristian. Jelsnya Aram adalah bahasa proto Syiriac iaitu bahasa suryani kuno yang menjadi asas bagi ketamadunan Bani Israel dahulu.

Ibrani dan Aram adalah kelompok bahasa yang sama. Lantaran itu kalimah Ellah, Ela, Abba, Elohim dan sebagainya digunakan dalam Old dan New Testment. Manakala kalimah ini semua jika diterjemah ke dalam bahasa Arab, ia adalah Allah. Namun begitu saya persoal mengapa di Malaysia ingin digunakan kalimah Allah sedangkan terlalu lama mereka gemar menggunakan bahasa Inggeris iaitu God dalam Bible di Malaysia. Malah Inggeris seolah menjadi bahasa rasmi Kristian di Malaysia bukannya Aram atau Ibrani.

Penolakan saya terhadap signifikan kalimah itu dalam Bible serata dunia adalah berasas. Namun saya tidak boleh menafikan Allah yang mereka percayai adalah Allah saya juga walaupun Allah yang saya fahami adalah Allah yag tanzih dan tasbih daripada sifat makhluk dan kekurangan malah ia adalah Esa dan satu.

Dalam keceramukan pandangan dan pegangan masyarakat terutama berbangsa Melayu terhadap isu ini, suka untuk saya petik pandangan YAB Tuan Guru NIk Abd Aziz Nik Mat terhadap isu ini.

“ Pada asasnya saya sudah jawab, memang boleh guna kalimah Allah. Bagaimanapun kerana ada mainan di belakang, jadi untuk menyekat perkara tidak betul maka menurut usul fiqh ia harus disekat. Benda harus, jika bahaya boleh disekat”.

Pandangan Ustaz Taib Azamuddin (Bekas Imam Masjid Negara) dan Ustaz Abd Ghani Shamsuddin (bekas YDP Persatuan Ulama Malaysia) pula ialah pentingnya dialog dan interaksi untuk berkongsi pengalaman dan fahaman antara Kristian dan Islam di Malaysia berkaitan hakikat nama Allah. Mereka guna nama Allah, kita juga gunakannya. Inilah peluang untuk kita perjelaskan pendirian kita bahawa Allah itu suci daripada triniti. Bukankah ini metod Rasulullah dalam menerangkan bezanya Allah yang diyakini oleh Abu Jahal dengan Allah yang difahamkan oleh Jibrail kepada Baginda? Bukankah ini lebih efisien.

Dr Yusuf Al Qaradhawi juga menyatakan dalam khutbah beliau di Masjid Saidina Umar Qatar 22 januari 2020 yang lalu, bahawa Allah adalah tuhan semua manusia. Tetapi agama lain merosakkan nama Allah dan sifatnya dengan menambah sifat jismiyyah dan kemanusiaan kepada Allah SWT. Inilah bezanya aqidah Islam dengan pegangan agama lain. Adakah perbezaan ini menyebabkan kita membakar gereja, meletupkan kuil?

Tentu tidak!

Malah Islam menggalakkan kita terlibat dengan kaum Kristian dan mendekatkan mereka dengan kefahaman tanzih (menyucikan) Allah dari segala sifat triniti yang salah dalam aqidah Islam.

Dr Yusuf juga memiliki ramai sahabat baik yang sama-sama berjuang isu sosial, perjuangan bembela rakyat yang dizalimi serta kemanusiaan seperti Dr George Ishaq, Dr Rafiq Habib, Azmy Basyarah Dr Ataillah Hana (Palestin) dan sebagainya. Dr Yusuf juga bersahabat dengan pejuang keamanan dan hak asasi Kristian dari Palestin. Inilah interaksi Islam yang diajar oleh Nabi.

Namun begitu saya juga tidak menolak usaha beberapa NGO untuk mendesak Gereja berfikir semula sensitiviti kaum melayu di malaysia di mana kaum melayu Malaysia canggung dengan kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian. NGO tertentu juga mengambil pendekatan menolak kemudaratan lebih besar kerana penggunaan ini akan mengelirukan anak muda dan belia di malaysia yang jahil tetang Allah. Ia bersifat diterrence (pencegahan) awal untuk mengelakkan gejala murtad di Malaysia yang kian barah kerana perlembagaan persekutuan melarang sebarang perancangan dan usaha menyebar dakwah agama lain kepada kaum muslim. Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam adalah agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara.

Namun berbanding agama-agama lain, Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang. Perkara 11(4) menegaskan bahawa penyebaran agama bukan Islam kepada khalayak Islam adalah dilarang. Pengecualian diberikan kepada penyebaran syiar dan dakwah Islam.

Jika perkara 11(4) dijalankan dengan jayanya, tidak ada masalah dalam penggunaan nama Allah oleh gereja Kristian selagi mana ia dikawal.

Saya suka untuk memetik kenyataan Peguam Hanifa Maidin,

“Kalimah God telah diterjemah sebagai Allah dalam “Istilah Agama Kristian Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia” yang diterbitkan pertama kali oleh Catholic Bishops Conference of Malaysia pada tahun 1989 . Kamus Melayu-Latin yang diterbitkan sejak tahun 1631 telah menterjemah perkataan “Deus” (Kalimah Latin untuk God ) sebagai “Allah” dalam terjemahan Melayu. Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kalimah “Allah” telah digunakan secara terus menerus dalam edisi Matthew’s Gospel di Malaysia pada tahun 1629 dan dalam Bible Melayu pertama yang lengkap pada tahun 1733 dan Bible Melayu yang Kedua Lengkap pada tahun 1879 sehingga sekarang. Munshi Abdullah yang dianggap bapa kesusasteraan Melayu telah menterjemah Gospels ke dalam Bahasa Melayu pada tahun 1852 dan beliau telah terjemah perkataan “God” sebagai “Allah”. Telah ada Bible yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu yang wujud sebelum 1957 yang mana terjemahannya telah dibuat oleh British and Foreign Bible Society di mana kalimah “Allah” telah digunakan”. Jika sebelum merdeka kaum melayu berjuang menghalang penggunaan nama Allah dalam dokumen-dokumen di atas mungkin kuat untuk umat Islam melarang gereja hari ini (dalam konteks Malaysia).

Pendirian saya ialah, saya skeptikal kepada pihak Kristian yang mungkin ingin menggunakan kalimah Allah untuk tujuan murtadkan kaum melayu (jika ada). Namun dalam isu ini saya lebih cenderung dengan dialog dan pertukaran pandangan serta wacana yang sihat sepertimana amalan Ahmad Deedat dan sebagainya. Dengan dialog, insya Allah , Allah akan lebih dikenali ramai secara absah dan tepat.

Kepada pihak melayu yang ekstrim dalam politik sekular, namun berubah fikiran untuk taksub dalam isu nama Allah tanpa sebarang wacana dan fakta yang benar, sila matikan hasrat anda kerana anda hanya menjadi punca jauhnya sinar hidayah dalam diri kaum Kristian di Malaysia serta melambakkan lagi sikap curiga antara kaum di Malaysia