Hukum asal mengambil cukai dari rakyat adalah haram. Ini disandarkan kepada hadis, bahawa nabi SAW bersabda;
إِنَّ صَاحِبَ الْمَكْسِ فِي النَّارِ
Maksudnya;
"Sesungguhnya pengambil cukai dalam neraka" [Musnad Ahmad : 16387]
Dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas memaksudkan perkara tersebut adalah haram. [mabahis usuliyyah fi taqsimat al-alfaz : 87]
Namun begitu, dalam beberapa keadaan, kerajaan dibenarkan mengutip cukai dari rakyat. Dr yusuf Al-Qaradhawi menyebut;
و اشترط بعضهم أن يخلو بيت المال خلوا تاما حتى يجوز فرض ضرائب , و ما صنعوا ذلك إلا خشية إسراف الحكام في طلب الأموال لحاجة و لغير حاجة
Maksudnya;
"Setengah ulama mensyaratkan [mengutip cukai], bahawa dalam keadaan baitul mal [perbendaharaan negara] benar-benar kekeringan, sehingga terpaksa mengenakan cukai [kepada rakyat]. Mereka [ulama] meletakkan syarat sebegitu, tidak lain kerana bimbang berlaku pengambilan harta rakyat sewenang-wenangnya, sama ada ketika hajat atau tidak" [Fiqh Az-zakat : 2/1140]
Imam As-Syatibi pula menyatakan;
و شرط جواز ذلك كله عندهم عدالة الإمام و إيقاع التصرف في أخذ المال و إعطائه على الوجه المشروع
Maksudnya;
"Disyaratkan keharusan itu – disisi mereka [ulama] – adalah pemerintah mestilah adil, dan perbelanjaan dari sudut pengambilan harta dan pemberian harta itu atas jalan yang dibenarkan syarak" [Al-'Itisam : 2/86]
Dalam kitab Al-Mustasfa, Imam Al-Ghazali menyebut, bahawa pengambilan cukai dari rakyat adalah satu kemudharatan. Namun, apabila berhimpun antara mudharat yang kecil dan besar, maka hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi mengelak dari terjadinya mudharat yang besar. [m/s : 1/303]
Dalam Imam Al-Qurtubi pula menerangkan syarat-syarat mengambil harta rakyat dalam bentuk cukai adalah seperti berikut;
Pertama, jangan pemimpin mementingkan dirinya dengan membebankan rakyat.
Kedua, hendaklah dipentingkan kepada golongan yang paling berhajat dengan bantuan kewangan.
Dan ketiga, hendaklah disama-ratakan pembahagian negara [hasil cukai] berpandukan taraf kedudukan rakyat. [tafsir Al-Qurtubi : 11/60