Wednesday, April 7, 2010
TerSerah! Apa Pilihan Anda
ROKOK
Tidak diketahui, apakah hujjah yang boleh dikatakan bahawa rokok itu harus, ataupun makruh. Sekadar pembacaanku, tidak pernah ketemui satu nas dan dalil pun yang boleh mengatakan bahawa rokok itu adalah halal.
Yang pastinya, boleh dikatakan seluruh manusia akan menyatakan bahawa rokok membawa kepada kemudharatan pada kesihatan. Kemudharatan rokok pada kesihatan ini, pada pandangan manusia ramai sudah boleh diketagorikan sebagai “perkara yang diketahui umum”.
Justeru, atas alasan kemudharatan inilah, menyebabkan ulama-ulama menyatakan keharaman rokok. Antara dalil-dalil mereka adalah seperti berikut;
PERTAMA : Surah Al-‘Araf, 157;
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya;
”Allah halalkan kepada mereka perkara yang baik, dan haramkan atas mereka perkara yang buruk”
Rokok adalah perkara yang buruk; sama ada pada kesan pada kesihatan, mahupun dari sudut pembaziran. Apabila ia dilihat buruk, pasti hukum rokok adalah haram berdasarkan kepada ayat ini.
KEDUA : surah An-Nisa’, 29;
وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya;
”Jangan kamu bunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah penyayang terhadap kamu”
Semua pakar perubatan mengatakan bahawa rokok memberi bahaya kepada kesihatan, terutama kepada sumber kehidupan manusia, iaitu jantung. Makanya, ia haram berdasarkan kepada ayat ini.
KETIGA : Surah Al-Baqarah, 195;
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya;
”Jangan kamu campakkan dengan tangan-tangan kamu kepada kebinasaan. Hendaklah kamu lakukan kebaikan. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang melakukan kebaikan”
Rokok penyebabab kebinasaan pada kesihatan dan harta. Dengan merokok, akan wujud pembaziran. Sudah pasti, ia terlarang berdasarkan firman Allah ini.
KEEMPAT: Surah An-Nisa’, 5;
وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا
Maksudnya;
”Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan”
Orang yang tidak sempurna akal adalah manusia yang tidak dapat mengelolakan hartanya pada perkara yang memberi manfaat. Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa harta-harta yang dikurniakan oleh Allah untuk melaksanakan kemaslahatan untuk agama dan dunia manusia.
Adapun rokok, jika dibeli, ia tidak memberikan sebarang maslahah pun kepada agama dan dunia manusia, bahkan yang wujudnya adalah pembaziran dan dapat memberikan keburukan pada kesihatan manusia.
KELIMA : Muwatta’, 1234, sabda Nabi SAW;
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya;
”Tidak ada kemudharatan pada diri sendiri dan pada diri orang lain”
Rokok mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan manusia. justeru, ia adalah haram.
KERAGUAN DAN JAWABAN
Ada beberapa keraguan yang ditimbulkan, dan ia adalah seperti berikut;
PERTAMA:
Tidak ada satu nas yang jelas mengatakan rokok itu haram. Bagaimana ulama boleh pandai-pandai mengatakan ia adalah haram?
JAWABAN:
Tidak dinafikan, tidak terdapat satu nas secara sareh (jelas) menyatakan pengharaman rokok. Pun begitu, dalam kaedah syariah, setiap perkara yang mendatangkan mudharat, maka hukumnya adalah haram.
Ia sama seperti haram makan racun. Waima tidak terdapat nas yang mengatakan haram makan racun, tetapi memandangkan racun boleh memberi mudharat pada manusia, menyebabkan hukumnya adalah haram.
KEDUA:
Kenapa mahu haramkan rokok atas alasan mudharat? Bukankah gula juga boleh mendatangkan mudharat? Justeru, mengapa tidak mengatakan haram pada gula?
JAWABAN:
Bagi manusia yang tidak mempunyai gula dalam tubuhnya, pasti orang itu akan ditimpa penyakit ’kekurangan gula’. Justeru, dari sudut syariat, pemakanan gula boleh dikategorikan sebagai ”mukammalat at-ta’am” atau kesempurnaan bagi makanan. justeru, ia tidak boleh diharamkan secara mutlak, tetapi boleh dikatakan haram sekiranya berlebih-lebihan.
Adapun rokok, ia bukanlah sesuatu kesempurnaan bagi badan, bahkan tanpa rokok akan mendatangkan kehidupan yang lebih sempurna. Makanya, tindakan mengkiaskan gula dengan dengan rokok adalah kias maa al-fariq.
KESIMPULAN:
Dari perbahasan ringkas ini, nyata lagi jelas betapa tidak ada satu kaedah pun yang boleh menafikan pengharaman rokok. Malahan, dari sudut lain, dapat mengkuatkan lagi pengharaman rokok.
Antaranya adalah, rokok itu haram disebabkan faktor berbau busuk, sedangkan Nabi SAW ada bersabda;
مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا
Maksudnya;
”barangsiapa yang makan bawang putih atau bawah besar, maka hendaklah dia jauhkan diri daripada kami[1]”
Juga, hadis Nabi SAW bahawa baginda bersabda;
فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ تَتَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ النَّاسُ
Maksudnya;
“Sesungguhnya Malaikat itu akan merasa jijik daripada perkara yang merasa jijik oleh manusia[2]”
Juga, rokok boleh mengakibatkan pembaziran pada harta, sedangkan Allah SWT berfirman;
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya;
“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah adik beradik Syaitan. Dan Syaitan itu adalah terlalu kufur terhadap tuhan-Nya”
(Surah Al-Isra’ : 27).
Dari alasan ini, nyata bahawa rokok adalah haram. Tidak terdapat satu hujjah pun, yang boleh menyatakan bahawa rokok ini adalah makruh. Pun begitu, tidak diketahui jika hukum rokok ini dikupas oleh ulama yang menghisap rokok?
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment