KUALA LUMPUR, 27 Mac: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) iaitu virus yang biasanya ditemui dalam babi.
Beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini turut melahirkan rasa amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix.
Ini kerana, katanya vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
CAP amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix, vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.
Kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) – virus yang biasanya ditemui dalam babi.
Rotavirus adalah genus virus RNA dalam keluarga Reoviridae. Ia merupakan penyebab utama cirit birit yang teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dan merupakan salah satu daripada beberapa virus yang menyebabkan Rotavirus gastroenteritis, penyakit sederhana hingga ke peringkat yang teruk dengan ciri-ciri muntah, cirit birit berair, demam dan biasanya dikenali sebagai stomach flu, ia tidak mempunyai kaitan dengan selesema. Menjelang usia lima tahun, hampir setiap kanak-kanak di dunia ini dijangkiti dengan rotavirus sekurang-kurangnya sekali.
Bagaimanapun, dengan setiap jangkitan, imuniti akan berkembang dan jangkitan seterusnya akan menjadi kurang teruk dan orang dewasa jarang terjejas. Terdapat tujuh spesies virus ini yang dirujuk sebagai A, B, C, D, E, F dan G, kesemuanya juga menyebabkan penyakit terhadap binatang lain. Rotavirus A, yang paling biasa menyebabkan lebih daripada 90% daripada jangkitan pada manusia.
Vaksin rotavirus seperti GSK Rotarix sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada rotavirus. Laporan media menjelaskan Rotarix diperbuat daripada rotavirus manusia yang lemah yang dibesarkan di dalam sel hidup. GSK menggunakan sel buah pinggang monyet untuk tujuan ini.
Menurut Dr Margaret Hamburg, Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), cebisan DNA PCV1 ditemui dalam bank sel Glaxo, bermakna ia hadir daripada perkembangan awal vaksin yang pada hakikatnya vaksin sepatutnya hendaklah disteril (bersih dari kuman). Kemungkinan besar GSK tidak menyedari sesuatu yang janggal ini dalam vaksin mereka lama sebelum 2006 apabila mereka menjalankan ujian klinikal ke atas Rotarix untuk kanak-kanak.
Kami mempersoalkan kenapa GSK tidak membuat sebarang usaha untuk mengasingkan dan memusnahkan virus ganas PCV1 dalam pelbagai bahan genetik yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin apabila ia boleh dilihat dengan jelas oleh saintis jika keselamatan diutamakan. Amat mengejutkan sekali apabila GSK membenarkan keadaan berbahaya untuk berterusan sehingga beberapa tahun sehingga ia muncul sebagai pencemar untuk vaksin bagi kanak-kanak semuda seusia enam minggu.
Pada hakikatnya, GSK hanya melaporkan penemuannya sendiri berhubung kehadiran PCV1 dalam Rotarix kepada FDA pada 15 Mac, berdasarkan kepada kerja yang pada asalnya dilakukan oleh pasukan penyelidik akademik. Diikuti oleh ujian susulan yang dijalankan bersama oleh GSK dan FDA mengesahkan penemuan pasukan itu dan mengesahkan komponen viral terdapat sejak peringkat awal perkembangan vaksin termasuk sewaktu ujian klinikal.
Terdapat dakwaan bahawa tiada bukti bahawa terdapat risiko kepada pesakit yang menerima vaksin ini, bagaimanapun FDA pada 22 Mac memutuskan untuk berhati-hati dan mengeluarkan amaran kepada pakar kanak-kanak di seluruh negara di Amerika Syarikat untuk menghentikan memberikan Rotarix kepada pesakit mereka sementara menunggu siasatan yang dijangkakan berakhir dalam masa enam minggu. Pihak FDA juga mengakui sehingga kini virus babi yang khusus ini bukanlah satu-satunya yang mereka fikirkan pembuat vaksin perlu untuk memeriksa produk mereka.
Pada hari ini (27 Mac), Kementerian Kesihatan Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) telah mengambil isyarat daripada FDA dan telah mengarahkan pergantungan segera pengimportan, pengedaran dan penjualan Rotarix dan pengharaman sementara penggunaannya untuk kanak-kanak. Jordan melalui Pentadbiran Makanan dan Ubatan juga telah menerima pakai pendirian FDA dengan menggantung semua preskripsi Rotarix memandangkan mereka bimbangkan risiko kesan sampingan yang tidak diketahui daripada PCV1.
Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah meminta doktor menangguhkan vaksinasi Rotarix atau menggunakan alternatif sementara HAS bekerjasama dengan GSK untuk menentukan jika sebarang kelompok vaksin Rotarix telah tercemar. Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang menggunakan Rotarix supaya “berhati-hati mempertimbangkan manfaatnya untuk terus menggunakannya dalam sebarang keputusan.
Sementara itu, Pengarah Klinikal R & D dan Hal Ehwal Perubatan GSK Malaysia dan Singapura, Dr Teoh Yee Leong, berkata pembuat ubat itu memberikan jaminan kepada HAS bahawa mereka akan “terus berkongsi maklumat dengan HAS apabila ia diperolehi”, kerjasama yang sama seperti itu dilihat tidak dihulurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan kita.
Berdasarkan kepada sikap berdiam diri Lembaga Kawalan Ubatan (DCA) Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini, ia dilihat GSK mempunyai alasan enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung isu kritikal ini kepada Kementerian Kesihatan walaupun sudah 12 hari sejak perkara ini dilaporkan kepada USFDA. Sementara amat bekerjasama dengan HSA Singapura, GSK Malaysia dilihat menyokong sepenuhnya di sebalik Kementerian Kesihatan yang secara terbuka menyarankan penggunaan Rotarix di Malaysia. Kami bimbang jika ini kesnya yang sebenar atau rakyat dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa.
Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat beragama Islam sebagai majoriti seperti negara kita, amat difahami bahawa isu seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif, terutama sekali memandangkan vaksin itu tercemar daripada virus yang berasal daripada babi. Sepertimana yang kita semua tahu, pengambilan babi adalah ‘haram’ atau dilarang kepada orang Islam.
Salah satu rasional saintifik kenapa babi dikategorikan sedemikian oleh Islam memandangkan kepada kehadiran sejenis parasit seperti Taenia solium (pork tapeworm) dan Trichinella spiralis (trichina worm) dan mikroorganisma seperti procine circovirus jenis 1 yang tidak diragui lagi berbahaya kepada kesihatan manusia. Sebab itulah Rotarix yang tercemar dengan PCV1 tidak dapat diterima oleh orang Islam tetapi Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga kepada semua rakyat yang beragama lain di negara ini untuk menjelaskan situasi serta mengambil langkah segera untuk menarik balik dan menganalisis kelompok Rotarix yang sedia ada itu tercemar dan mengumumkan amaran di seluruh Negara serta menggantung vaksin itu sehingga ia terbukti selamat.
Kerajaan UAE dan Jordan di mana Islam merupakan majoriti dan agama rasmi telah menjadi contoh dalam tindak balas mereka yang proaktif dan segera terhadap ancaman pencemaran Rotarix. Mereka telah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab kepada warganegara mereka memandangkan kepada keadaan ancaman iaitu membahayakan kesihatan serta mempunyai kaitan dengan agama dan mereka telah mengumumkan keputusan mereka untuk khalayak ramai.
Sama ada GSK Malaysia telah memberikan amaran atau tidak kepada Kementerian Kesihatan, kami mempersoalkan kenapa Kementerian Kesihatan masih belum mengisytiharkan amaran ke seluruh negara dan menggantung vaksin Rotarix sekarang dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat ke atas kelompok Rotarix yang sedia ada.
Apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu dan menyakinkan rakyat terhadap keselamatan anak-anak mereka? Apakah yang menghalang Kementerian Kesihatan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat? Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika kepercayaan agama dan kesihatan mereka mungkin dikompromikan.
CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung dengan situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan.
Tuesday, March 30, 2010
Tahniah Tuan Guru.....

KOTA BHARU, 29 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan pertamanya selepas dipilih semula sebagai Mursyidul Am meminta semua pihak dalam PAS agar membantu beliau bagi menjayakan misi parti bersama dengan Pakatan Rakyat.
"Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat," kata beliau dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada media sekejap tadi.
Kenyataan ini dibuat beliau selepas dipilih sekali lagi sebagai Mursyidul Am dalam mesyuarat kedua Majlis Syura Ulamak PAS pagi tadi. Turut dipilih semula adalah Datuk Dr Haron Din sebagai timbalannya.
Dalam kenyataan itu beliau berkata, "menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti."
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:-
KENYATAAN RASMI
YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN
PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI
AL-MURSYIDUL AM PAS
• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.
• Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.
• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.
• Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.
• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.
Semoga kerjasama dan husnul-zhon (sangka baik)dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.
Sekian, wassalam.
TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Monday, March 29, 2010
SelamaT BerJuang...

Salam ukhwah fillah...Aku seorang pejuang dan aku ingin menjadi seorang pejuang. Dua ayat ini berbeza sama sekali dari sudut makna tersiratnya. Walaupun kedua-duanya bercita-cita menjadi pejuang, akan tetapi kehidupan mereka saling tidak sama antara satu sama lain.Adapun aku seorang pejuang adalah individu yang sudah mengakui bahawa ia seorang pejuang. Manakala aku ingin menjadi pejuang adalah individu yang belum menjadi pejuang dan bercita-bercita untuk kearah itu.
Seorang pejuang agama Allah bukanlah calang-calang orang. Gelaran tersebut begitu tinggi nilainya. Bergantung kepada kekuatan rohani dan jasmani. Sekiranya seseorang itu menepati ciri-ciri pejuang agama Allah SWT. Nescaya ia tergolong diantara orang-orang yang dekat dan hampir kepada Allah Azza Wa Jalla.
Teringat saya satu kisah mengenai panglima Toriq Bin Ziyad yang cuba memilih pejuang-pejuangnya mengikuti beliau bersamanya ke bumi Andalus. Beliau hanya diminta untuk memilih sebahagian kecil sahaja dari tentera-tentera Islam ketika itu. Kebijaksanaan beliau dalam membuat pilihan tersebut mengagumkan pemerintah ketika itu. Beliau bukan saja memilih orang yang perkasa dari segi fizikal, malah beliau menanyakan kepada tentera-tentera yang berada dihadapan beliau mengenai ibadah yang dituntut.
Pertama, beliau menanyakan kepada sekumpulan tentera tersebut mengenai solat fardhu yang mereka tunaikan. Yang lunas solatnya, boleh mengikutinya. Akan tetapi bilangan tersebut masih melebihi had yang ditetapkan. Kemudian beliau meminta kepada mereka yang tidak melazimi solat sunat untuk duduk, dan yang berbaki menjadi pilihannya. Namun lebihan bilangan masih berlaku. Sejurus kemudian, beliau meminta kepada mereka yang tidak berpuasa sunat untuk duduk, dan yang berbaki mengikutinya. Alhamdulillah, akhirnya bilangan mereka cukup untuk berangkat ke bumi Andalus.
Cuba sahabat-sahabat perhatikan, betapa ketatnya pemilihan yang dibuat oleh panglima Toriq Bin Ziyad dalam memilih pejuangnya. Bukan setakat kuat dan gagah lagi berani dari segi fizikal. Tetapi kukuhnya iman dan aqidah tenteranya menjadi pilihan hati beliau. Inilah sebenar-benar pejuang. Tidak cukup dengan laungan saja, bahkan amalan harian mereka membuktikan bahawa mereka benar-benar pejuang terpilih.
Selain kisah ini juga, terdapat kisah mengenai panglima Solahuddin Al-Ayyubi dalam memerhatikan tenteranya di setiap khemah pada waktu malam. Beliau begitu takut terhadap kelunturan iman tenteranya. Kerana beliau percaya dan yakin bahawa kemenangan bukanlah datang dari kekuatan zahiriah. Tetapi kemenangan datangnya dari pertolongan Allah SWT. Dengan itu, beliau amat takut sekali akan kelemahan iman tenteranya yang boleh mengakibatkan kekalahan di dalam medan pertempuran.
Lihatlah bagaimana umat Islam dahulu begitu kuat mempertahan aqidah Islamiyyah berbanding kita sekarang ini. Mungkin ada yang mampu menjadi demikian. Tetapi alangkah sedihnya sekiranya masih ramai melaungkan "aku ingin berjuang" pada luaran saja tetapi bukan pada dalamannya. Amatlah rugi sekali...
http://junjungansetia.blogspot.com/
Jom Kita SolaT.....


Salam bahagia kepada semua, terima kasih atas persoalan yang dikemukakan dari salah seorang pengunjung blog ini. Soalannya ialah “Berdasarkan keadaan sekarang ini terdapat banyak masjid dan surau d merata tempat,bolehkah Ustaz huraikan tentang solat jamak @ qasar yg mana pada dasar permerhatian saya sesetengah orang engan mengerjakan solat jamak @ qasar semasa bermusafir . Apakah niat, syarat dan cara mengerjakannya?”
Jawapannya
Menurut Dato Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat bahawa :
Pengertian solat jamak ialah mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, contohnya mengumpulkan waktu zohor kepada asar atau asar kepada zohor, maghrib kepada isyak atau isyak kepada maghrib. Manakala solat qasar ialah memendekkan solat daripada 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi 2 rakaat ialah solat zuhur, asar dan isyak. Solat jamak atau solat qasar diharuskan kepada sesiapa yang musafir lebih dari 2 marhalah (60 batu) atau lebih 90 KM.
Pembahagian Solat Jamak
Jamak Taqdim ialah melakukan solat jamak pada waktu yang awal iaitu zuhur dan maghrib. Contohnya solat zuhur dijamakkan dengan asar pada waktu zuhur, solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib, maka ini dinamakan solat jamak taqdim.
Jamak Takhir ialah melakukan solat jamak pada waktu yang akhir iaitu asar dan isyak. Contohnya melaksanakan solat zuhur dan asar pada waktu asar, solat maghrib dan isyak pada waktu isyak, maka ini dinamakan solat jamak takhir.
Hikmah dan Hukum solat Jamak dan Qasar
Hikmah solat Jamak dan Qasar adalah untuk mempermudahkan atau memberikan keringanan kepada orang yang musafir lebih dari 2 marhalah. Orang musafir sering mengalami masalah dalam perjalanannya, sukar untuk berhenti solat dan sebagainya, maka dari itulah Allah memberikan kemudahan kepada umat Islam untuk jamak dan qasar solat fardhunya. Tiada alasan lagi bagi orang yang musafir untuk meninggalkan solat fardhu. Hukum solat jamak dan Qasar ini adalah harus, terpulang kepada orang yang musafir untuk mendirikan solat sempurna atau jamak dan qasar, tidak menjadi masalah, nak buat jamak qasar tidak menjadi masalah atau tidak mahu buatpun tidak menjadi masalah.
Syarat Jamak Taqdim
Solat pada waktunya yang awal seperti solat zuhur dan maghrib.
Niat jamak pada waktu solat yang pertama.
Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua dan tidak boleh diselangi dengan perbuatan lain dari solat.
Diselangi dengan iqamah dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal.
Berkekalan musafirnya sehingga solat yang kedua.
Syarat Jamak Takhir
Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
Berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat.
Syarat Qasar
Musafir hendaklah tidak bertujuan maksiat.
Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah.
Solat yang diqasarkan hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja.
Hendaklah diniatkan qasar dalam niat solat.
Tidak boleh berimam orang yang solat penuh (sempurna).
Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
Dia tahu orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.
Niat Solat Jamak dan Qasar
Jamak Taqdim dan Qasar
Zuhur-Asar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إلي الظهر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada zuhur tunai kerana Allah Taala”.
Maghrib-Isyak
أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إليه العشاء أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepadanya isyak tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إلي المغرب أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada maghrib tunai kerana Allah Taala”.
Jamak Takhir dan Qasar
Asar-Zuhur
أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إليه الظهر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya zuhur tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلي العصر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala”.
Isyak-Maghrib
أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إليه المغرب أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya maghrib tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إلي العشاء أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepada isyak tunai kerana Allah Taala”.
Cara Mengerjakan Solat Jamak dan Qasar
Di sini saya datangkan cara mengerjakan solat jamak dan qasar berdasarkan penerangan Ustaz Sulaiman Endut dalam bukunya Asas-asas Fardhu Ain, iaitu seperti berikut :
Solat zuhur dan asar itu hendaklah dilakukan dalam waktu zuhur. Kalau jamak takhir hendaklah dilakukan dalam waktu asar.
Berdiri lurus mengadap kiblat.
Berniat hendak mengerjakan solat zuhur secara jamak taqdim dan qasar. Kalau jamak takhir solat jamak dan qasar pada waktu terakhir.
Setelah itu kerjakan solat zuhur sebanyak dua rakaat sehingga selesai memberi salam.
Kemudian berdiri semula untuk mendirikan solat yang kedua iaitu asar.
Berniat untuk mengerjakan solat asar secara jamak takhir.
Kerjakanlah solat asar sebanyak dua rakaat sehingga selesai.
Kalau qasar jamak taqdim atau jamak takhir antara solat maghrib dan isyak, maka hendaklah niatkan solat maghrib secara jamak takdim atau jamak takhir sahaja tanpa menyebut qasarnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)